Monday, February 25, 2008

TEKSTIL DAN JAHITAN MANIK


Kehalusan sulaman yang mempesona
Oleh ROSMAWATI MION- Utusan Malaysia Online ruangan Keluarga

DALAM kepelbagaian penghasilan sulaman kerawang, pastinya wanita pernah mendengar mengenai kehalusan dan kecantikan hasil kerja tangan ciptaan jenama Uluwatu di Bali, Indonesia.


Diasaskan oleh Ibu Made Jati, Uluwatu telah lebih 25 tahun menghasilkan pakaian berkualiti dengan menggabungkan keselesaan dan teknik kemahiran sulaman kerawang yang hampir dilupakan bukan sahaja ke atas kebaya tetapi juga pakaian moden.
Biarpun menghasilkan pelbagai saiz untuk setiap satu rekaan pakaian, ia tidak menghalang Uluwatu untuk menampilkan sulaman kerawang buatan tangan untuk setiap pakaian keluarannya.

Malah, lebih menarik setiap pakaian dan produk yang dihasilkan disulam indah dengan pelbagai jenis kerawang buatan tangan yang dicipta sendiri selaras dengan namanya, Uluwatu Handmade Balinese Lace. Setiap keluaran juga dicipta dengan teliti dan cermat oleh Ibu Made Jati bersama adiknya, Ibu Nyoman Suti dengan rekaan yang tidak lapuk dek zaman malah penuh klasik dan bergaya etnik.

Sebenarnya, proses pembuatan barangan Uluwatu cukup rumit, malah terpaksa melalui beberapa peringkat sebelum ia dijual kepada pelanggan dan itulah yang menyebabkan Uluwatu cukup istimewa. Bermula dengan rekaan, pemilihan fabrik yang berkualiti, potongan, jahitan, sulaman kerawang sehingga ke peringkat terakhir iaitu pengemasan - kesemuanya dilakukan penuh teliti agar mutu keluaran Uluwatu terjaga.

Menggunakan fabrik seperti linen, rayon dan cita, setiap rekaan akan disulam kerawang mengikut motif yang rata-ratanya menggambarkan sifat feminin seperti bunga-bungaan, kupu-kupu dan segala keajaiban yang terdapat di pulau Bali. Jahitan sulaman kerawang dihasilkan dengan tangan menggunakan ram (bingkai sulaman) yang diperbuat daripada buluh. Para pekerja berkemahiran yang rata-ratanya wanita akan menjahit sulaman kerawang mengikut motif yang dilakar halus di atas kain yang telah diregang pada ram tersebut. Jahitan dihasilkan menggunakan mesin jahit lama yang berfungsi dengan kuasa pijakan kaki yang telah lama tidak digunakan lagi.

Kerawang dijahit mengikut ketebalan yang dikehendaki di atas lakaran tersebut dengan penuh teliti sehingga terhasil motif yang menjadi pilihan. Penghasilan sulaman kerawang berkualiti tidak berhenti setakat itu sahaja, sebaliknya ia perlu melalui satu lagi proses yang dianggap paling kritikal iaitu pengemasan. Melalui proses ini, bahagian kain yang tidak dikehendaki akan dibuang terutama kawasan sebelah dalam motif sulaman yang perlu ditebuk menggunakan gunting kecil yang tajam. Kemahiran dan kepandaian seorang penyulam kerawang akan diuji ketika proses pengemasan kerana jika ditebuk terlalu hampir dengan sulaman, dikhuatiri akan merosakkan sulaman tersebut, tetapi jika terlalu jauh menyebabkan wujud lebihan bening yang tertinggal.

Lebih istimewa tentang Uluwatu, setiap pekerja akan menyempurnakan sulaman kerawang untuk satu pakaian atau produk sehingga selesai bagi memastikan kehalusan sulaman tidak berubah. Dan, nama mereka yang menghasilkan sulaman kerawang itu akan dicatitkan pada tag yang terlekat di baju bagi memastikan jika terdapat kerosakan, penyulam yang sama akan memperbaikinya agar kerja tangan yang dihasilkan tidak berubah. Lebih istimewa, andai kerja tangan seseorang pekerja itu paling diminati, pelanggan boleh meminta agar individu terbabit menghasilkan sulaman kerawang buat mereka. Uluwatu kini di Malaysia Ramai pasti terpesona jika terpandang pakaian yang diserikan kehalusan dan keindahan sulaman kerawang Uluwatu. Begitu juga dengan pasangan suami isteri, Ida Faizura Datuk Megat Muhaiyadin dan suami, Izard Azman yang mula tertarik hati sebaik memasuki butik Uluwatu di Kuta, Bali sekitar tahun 2006.

Justeru, kini wanita di negara ini tidak perlu terbang jauh hingga ke Bali untuk mendapatkan pakaian jenama Uluwatu apabila ia berjaya di bawa masuk ke Malaysia di bawah syarikat Rias Homestores Sdn. Bhd. Koleksi pakaian yang diketengahkan terdiri daripada kebaya, dres, kutang, blaus, seluar, skirt dan jumpsuit dengan rona putih, krim dan hitam. Selain busana, turut dibawa adalah sarung bantal, sarung kotak tisu dan payung sebagai hiasan rumah yang kesemuanya juga dihasilkan menggunakan fabrik kapas berkualiti. Menurut Ida Faizura, keistimewaan sulaman kerawang Uluwatu yang halus dan cantik itu menyebabkan rata-rata pelanggannya sudah sedia maklum mengenai jenama tersebut.

‘‘Sesetengah koleksi yang dibawa ke negara ini diubah suai agar bertepatan dengan cita rasa masyarakat Malaysia kerana di Bali, sasaran pelanggannya lebih kepada pelancong luar negara terutama dari Barat,’’ katanya yang mula membuka butik Uluwatu itu sejak April 2007.
Malah katanya, bagi mempelbagaikan lagi koleksi di butiknya, beliau menempah koleksi jubah dan baju kurung labuh sempena Hari Raya Aidilfitri tahun lalu. Bagaimanapun katanya, pasaran di negara ini mengharapkan perubahan yang cepat dengan kepelbagaian koleksi yang lebih banyak, tetapi ia sukar dilaksanakan kerana pihak Uluwatu di Bali perlu mengambil masa yang agak lama untuk menyediakan tempahan. Katanya, untuk menyiapkan sehelai pakaian mengambil masa sehingga tiga hari untuk siap sepenuhnya manakala kerja menjahit sehelai hamparan katil memerlukan sehingga lima hari.

‘‘Kita faham mereka memerlukan masa yang panjang untuk menjahit sulaman kerawang kerana ia memerlukan kesabaran dan ketekunan jika inginkan hasil yang berkualiti. ‘‘Sebab itu, sukar bagi kami untuk kerap menukar koleksi, namun kita akan cuba mempelbagaikan pilihan mengikut cita rasa wanita Malaysia,’’ ujar Ida Faizura. Panduan menjaga pakaian bersulam kerawang
* Sebaiknya pakaian bersulam kerawang Uluwatu yang mengetengahkan fabrik linen, rayon dan cita dibasuh tangan atau dihantar ke cucian kering.
* Jangan sesekali diberus sebaliknya hanya menggosok dengan tangan bagi memastikan sulaman kerawang tidak rosak atau berbulu.
* Elakkan daripada direndam. Jika membasuh asingkan mengikut warna.
* Ketika menggosok, terbalikkan pakaian dan pastikan seterika tidak terlalu panas dan jangan terlalu menekan di bahagian sulaman.

No comments: